PEMENANG pingat emas Sukan Komanwel Pearly Tan-M Tinaah tersingkir dari saingan Terbuka Jepun, selepas terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 11-16 pada set penentuan di pusingan kedua, hari ini.

Bertemu pemain Korea Selatan Baek Ha Na-Lee Yu Lim, gandingan negara Pearly-Tinaah menang set pertama 21-13 sebelum tewas 19-21 di set kedua.

Pengarah Kejurulatihan Beregu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Manaiky berkata, Pearly mengalami kecederaan hamstring.

“Nasib tidak menyebelahi beregu wanita kita, apabila Pearly alami kecederaan dan tidak dapat meneruskan permainan,” kata Rexy.

Terdahulu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengejutkan pasangan ranking ke-20 dunia dari Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek bagi mengesahkan kemaraan ke suku akhir Terbuka Jepun, pada Jumaat.

Pang Ron-Ee Wei yang berada di kedudukan ke-62 dunia memberikan saingan sengit di set pertama sebelum terpaksa akur tewas 29-30 namun bangkit memenangi dua set berikutnya 21-18, 21-11 dalam aksi pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Maruzen Intec Arena di Osaka itu.

Begitupun, ujian mencabar bagi memburu tiket ke separuh akhir apabila dijadual bertemu juara dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Ya Qiong pada aksi suku akhir, esok.

“Dalam perlawanan hari ini, lawan bermain dengan baik dan kami tewas set pertama 29-30. Namun, kami kekal fokus dalam perlawanan untuk bangkit di set kedua dan seterusnya di set penentuan.

“Untuk perlawanan suku akhir, kami tidak mahu terlalu fikir banyak. Kami akan berikan yang terbaik dan mengambil pendekatan ‘nothing to lose’,” kata Ee Wei.

Sementara itu, beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut melangkah ke suku akhir selepas mengatasi pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang 14-21, 21-11, 21-15.

Mereka akan berdepan pilihan keempat kejohanan dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping bagi perebutan tempat ke separuh akhir.

Beregu wanita profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut terkandas di pusingan kedua apabila tunduk di tangan pilihan pertama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 16-21, 14-21.