PEMENANG pingat gangsa Sukan Olimpik Paris, Lee Zii Jia menjadi mangsa pertama keramat Jelajah Dunia Terbuka Jepun, dihantar pulang pemain Perancis yang tidak layak beraksi di Olimpik, Alex Lanier.

Beraksi di pusingan pertama, Zii Jia yang diletakkan selaku pilihan keenam kejohanan, dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi pemain remaja Perancis itu, namun sebaliknya berlaku.

Lee Zii Jia mungkin belum menjalani latihan sepenuhnya selepas berakhir Olimpik Paris.

Lanier yang berada dalam ranking nombor 1 kejohanan remaja, mudah mengatasi Olimpian negara dengan kemenangan 21-18, 21-13 dalam masa 41 minit.

Turut menempa kekalahan awal, seorang lagi Olimpian negara, Goh Jin Wei, yang dihantar pulang pemain China, Wang Zhi Yi selepas perseorangan wanita negara itu tunduk 18-21, 10-21.

Goh Jin Wei mungkin memerlukan tempoh rehat lebih panjang.

Nasib berbeza dialami beregu lelaki negara, selepas Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tanpa sebarang masalah mengatasi pemain tuan rumah dalam aksi straight set.

Diletakkan selaku pilihan kelapan kejohanan, Sze Fei-Nur Izzuddin meneruskan prestasi yang baik sepanjang tahun ini, apabila mengatasi Shibata Kazuki-Yamada Naoki 21-13, 21-13 dalam masa 39 minit.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengekalkan rentak cemerlang sepanjang tahun ini.

Justeru, mereka mara ke pusingan kedua dan bakal membuat perhitungan dengan pemain Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han yang menundukkan wakil Malaysia, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-13, 21-17.

Turut mara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, yang berkerja keras mengatasi pasangan Jerman, Bjarne Geiss-Jan Colin Voelker 21-12, 11-21, 21-16.

Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri beraksi dengan baik di Jepun.

Kemenangan itu membawa kepada pertemuan dengan pilihan keempat kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, yang mengenepi cabaran pasangan China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 22-20, 13-21, 21-14.