JUARA Terbuka Jepun, Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani gagal meneruskan kecemerlangan pada aksi hari ini, apabila tersingkir seawal pusingan pertama, setelah tunduk kepada pasangan muda senegara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.
Biarpun selesa memenangi set pertama 21-13, gandingan yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan itu dikejutkan dengan kekalahan 16-21, 16-21 dalam tempoh 55 minit.
Untuk rekod, ini adalah pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan di pentas antarabangsa, namun pencapaian Hon Jian-Haikal tentunya cukup memberangsangkan apabila menewaskan juara kejohanan bertaraf Super 750 di Tokyo Ahad lalu.
Kemenangan itu membolehkan Hon Jian-Haikal melangkah ke pusingan kedua dan menempah pertemuan dengan pasangan Korea Selatan, Choi Sol Hyu-Heo Kwang Hee yang baru digandingkan.
Sol Gyu-Kwang Hee sebelum itu menewaskan pasangan Chinese Taipei, Lu Ching Yao-Wei Chun Wei 23-21, 15-21, 21-19.
Turut mara ke pusingan kedua dalam beregu lelaki ialah dua gandingan profesional, Boon Xin Yuan-Goh V Shem dan Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.
Untuk rekod, Hon Jian-Haikal hanya merangkul satu kejuaraan tahun ini iaitu kejohanan bertaraf Super300 Masters Orleans, di Perancis, Mac lalu.