Gambar hiasan media


TINDAKAN
dua petugas media Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang lebih sudu dari kuah pada hari terakhir kejohanan Terbuka Malaysia sangat dikesali.

Malah tindakan seorang daripada mereka yang mengeluarkan kata-kata ‘anda lakukan sekali lagi, saya akan tendang keluar dari sini’ kepada seorang jurufoto, dianggap sangat kurang ajar.

Insiden itu berlaku ketika jurufoto berkenaan mahu berselfie dengan juara beregu campuran Zhang Si Wei-Huang Ya Qiong dari China selepas tamat wawancara dengan pihak media.

Difahamkan ini bukan kali pertama kedua-dua pegawai BWF yang masing-masing sebagai Pengurus Media dan timbalannya bertindak sedemikian kepada wartawan tempatan di kejohanan ini.

“Saya tertanya-tanya adakah mereka akan bertindak sedemikian di negara Eropah.

“Mereka seperti memandang rendah kepada wartawan yang rata-rata berpengalaman meliputi kejohanan berbanding mereka yang baru setahun jagung memegang tugas itu,” kata seorang wartawan yang enggan namanya disiarkan.

Tidak cukup dengan itu, kedua-dua mereka juga seperti memperlekehkan BAM dengan menyatakan banyak isu yang timbul khususnya dalam penyediaan infrastruktur di kejohanan ini.

“Mereka mahu tunjuk pandai sedangkan BWF sendiri tidak pernah menyediakan sebarang manual.

“Saya tidak faham apa yang mereka mahukan atau mereka sengaja mahu menyalahkan penganjur sebelum sempat penganjur merungut,” kata seorang lagi wakil media yang ditemui tanpa mahu namanya dipetik.

Hakikatnya, BAM bukanlah mentah dalam penganjuran kejohanan seperti ini malah Terbuka Malaysia pernah menjadi antara yang dihormati sehingga menawarkan hadiah wang tunai tertinggi pada 1990-an.