KETUA jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan memberitahu prestasi Tze Yong jelas meningkat meskipun tewas kepada pemain China yang mempunyai ranking jauh lebih baik darinya.
Dia turut mengakui Tze Yong kurang bernasib baik apabila dilanda ‘cramp’ kerana dia telah berusaha lebih dari tahap kemampuannya.
Ketika ditanya tentang sasaran emas yang diletakkan ke atasnya setelah penarikan diri Lee Zii Jia, dia menjelaskan ia bukanlah satu tugas mudah tetapi tetap akan mencuba segala-galanya dalam saingan Komanwel yang bakal dilangsungkan di Birmingham tahun ini.
“Nampak dia lebih bagus, tapi kita harus akui kecergasannya masih kurang. Jadi kita akan bekerja lebih keras. Cramp bererti sudah maksimum. Kita akan cuba yang terbaik, sasaran bukan dekat dia, tetapi kita akan cuba untuk Komanwel ,” jelas jurulatih tersebut.
Sementara itu, pemain muda negara itu mengakui telah berjaya memperbaiki banyak aspek dari persembahan yang dipamerkannya ketika bertemu pemain China itu.
Jelasnya, kekejangan yang dialaminya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak beraksi dengan baik setelah menemui angka 16 pada set ketiga.
Tze Yong turut mengharapkan mampu mencipta lebih banyak kejutan dalam perlawanan akan datang.
“Saya memang harap saya boleh menang. Saya rasa saya berlatih sangat bagus. Saya rasa masa 18-18 sangat tegang itu kelemahan saya.
“Saya harap saya boleh berlatih lagi bagus, saya harap saya boleh kejutkan lawan lain. Mengikut kepada persembahan hari ini, saya rasa semakin baik,” ujar pemain muda itu kepada media selepas perlawanan.
Bagaimanapun, dia enggan meletakkan apa-apa sasaran untuk dirinya dalam masa terdekat tetapi lebih gemar mengambil pendekatan ‘step by step’.