PASANGAN beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah terpaksa menerima kekalahan pahit kepada gandingan China, Zhang Shu Xian- Zheng Yu dengan keputusan 19-21, 14-21 pada Pusingan 16 Badmnton Terbuka Malaysia 2022 yang berlangsung di Axiata Arena pada Khamis.
Menurut Pearly, punca kekalahan mereka adalah disebabkan kurang kesabaran ketika bertemu pasangan China yang belum pernah berdepan sebelum ini.
Kesilapan kedua-dua pasangan ini jelas kelihatan selepas mereka mengikut rentak permainan lawan.
“Selepas mata kesebelas, kita kurang bersabar, dan kita telah masuk ke dalam perlawanan mereka, dan mereka telah baca perlawanan kita dan itu menyebabkan kita tewas,” ujar Pearly selepas perlawanan.
Sementara itu, bagi Thinaah pula turut senada dengan Pearly mengakui kesilapan mereka adalah terlalu banyak bertahan serta kurang bersabar dalam usaha mematikan langkah pihak lawan.
“Kita banyak bermain secara bertahan dan itu merupakan kesilapan yang kita lakukan. Saya rasa yang paling penting kita tidak boleh masuk ikut rentak lawan sebaliknya bermain dengan cara menyerang. Kami kurang bersabar. Mereka lebih sabar daripada kami, meskipun ketinggalan tetapi mereka tetap bersabar,” tambahnya.