BEREGU sensasi negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan setelah menumpaskan gandingan Singapura, Hee Yong Kai Terry-Loh Kean Hean dengan kemenangan 21-16, 21-13 pada aksi pusingan kedua Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena pada Khamis.

Aaron menjelaskan dia lebih yakin apabila turun bertemu gandingan Singapura itu dalam aksi yang berlangsung dengan suasana yang meriah suara penyokong-penyokong yang hadir.

“Untuk perlawanan hari ini, kita ada lebih keyakinan berrmain dengan mereka sebab kita pernah jumpa,” katanya ringkas selepas perlawanan.

Sementara itu, Wooi Yik mengakui peranannya sebagai ‘setter’ menjadikannya lebih berani dan berharap dapat mengekalkan keyakinannya untuk perlawanan menentang pasangan jaguh Indonesia, Hendra-Setiawan- Mohamad Ahsan.

“Memang permainan saya harus kena berani, kita sebagai setter, mungkin hari ini lebih jadi lah. Saya harap ini benda boleh kekalkan dan tak terlebih yakin,” ujarnya.

Meskipun memiliki rekod ‘head to head’ yang kurang memihak mereka, namun pertemuan kali terakhir mereka pada Sukan Olimpik di Tokyo sebelum ini membuktikan mereka boleh meraih kemenangan.

Terdahulu, gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin turut mara ke peringkat suku akhir selepas pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menarik diri ekoran kekejangan otot kaki kanan yang dialami Rankireddy dalam pertembungan pada Rabu.

Manakala, pertemuan terakhir melibatkan  skuad negara menyaksikan Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong tumbang meskipun berhempas pulas dalam pertarungan tiga set dengan kekalahan 18-21, 21-17,14-21 kepada pasangan dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.