BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menggunakan kelebihan mendapat rehat yang mencukupi setelah penarikan diri wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chetty Shirag dalam aksi yang berlangsung di Axiata Arena.

Gandingan itu jelas berada pada kelas tersendiri apabila berjaya menggamatkan hampir 15 ribu penonton yang hadir bagi menyaksikan perlawanan  tersebut dengan kemenangan straight set 21-11 22-20 menyingkirkan gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

“Walkover mereka, kami dapat rehat yang cukuplah untuk perlawanan ini. Siapa pun lawan kami, kami lebih sedia dari persiapan dan mental.  Sorakan penonton lebih nagi kami semangatlah,” kata Izzuddin.

Bagi Sze Fei pula, dia meletakkan persiapan sebagai aspek paling penting dalam pertemuan seterusnya tanpa mengambil kira lawan yang bakal ditempuh.

“Keyakinan memang kena ada, tapi yang penting persiapan untuk diri sendiri. Tidak kira siapa yang kita bakal ditemui, kami hanya fokus kepada permainan,” jelas Sze Fei kepada media selepas perlawanan.

Sementara itu, satu lagi aksi yang turut berlangsung serentak menyaksikan pasangan wanita negara, Anna Cheong-Mei Xing tewas bermaruah kepada gandingan ranking ke-6 dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.

Mei Xing menyifatkan meskipun mereka berjaya mempamerkan aksi membanggakan, namun faktor ketahanan mental mereka tidak cukup kuat bagi menewaskan pasangan Jepun itu.

“Kami rasa mental kami tak cukup kuat semasa mereka kejar balik, kami tak tahan tekanan, dan saya buat kesilapan. Mereka tangkap bola dan rotasi,” ujarnya.

Bagaimanapun, Anna sedar bahawa dia sudah berjaya memperbaiki banyak aspek dalam permainan mereka namun perlu lebih konsisten dalam aspek bertahan.

“Saya fikir kita semakin baik dalam kita punya game. Kita tidak buat senang punya kesilapan. Kita teruskan kita punya rally tapi tak cukup bertahan,” katanya.