BEREGU wanita ranking ke-71 dunia, Low Yee Yuan-Valeree Siow dipaksa mengerah keringat sebelum berjaya menundukkan pasangan ranking ke-24 dunia dari Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau dengan keputusan rubber set 17-21 21-16 21-19.
Semasa sesi temubual, dia menjelaskan punca dia mengalirkan airmata sejurus selepas kebangkitan luar biasa yang dipamerkan apabila menewaskan gandingan Jerman yang mempunyai ranking yang jauh lebih baik darinya.
“Kami tidak ambil peduli tentang ranking. Saya agak beremosi, beberapa minggu yang lalu, saya sangat stres, dan kita menang hari ini, saya telah buktikan kita mampu beri saingan.
“Kita telah berada di satu ranking yang lebih tinggi, jadi kami akan bermain SUPER 500, 750 dan 1000. Semua pemain adalah tahap terbaik, sangat sukar untuk menang dan kurang pengalaman. Sebab itu saya katakan saya sangat stres,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Sementara itu, satu lagi perlawanan menyaksikan gandingan muda negara, Wan Junaidi Wan Wan Arif-Haikal Nazri pula menunjukkan semangat perjuangan yang positif dan mendapat satu pengalaman berharga meskipun terpaksa akur apabila tewas 19-21 13-21 kepada beregu senior, Ong Yew Sin-Teo Ee Yie.