BEREGU muda negara, Wan Arif Wan Junaidi meluahkan keterujaannya bermain di laman sendiri menjelang aksi Badmitnon Terbuka Malaysia 2022.
Wan Arif berkata, peluang yang diberi akan dimanfaatkan sebaik mungkin setelah beberapa pemain Indonesia menarik diri akibat kecederaan.
“Pertama sekali alhamdulillah sebab ada yang tarik diri, kita harap draw pun baik, kita main tempat sendiri kan, jadi saya sangat teruja.
“Angin ada sedikit kuat di sini tapi kami kena biasa menyesuaikan diri. Kalau boleh saya harap ramai akan datang, tetapi kalau boleh jangan bising sangat, takut tak dengar apa jurulatih katakan,” ujar pemain dari Terengganu itu.
Sementara itu, Haikal Nazri berkata dia menyeru penonton hadir memberi sorakan kepada pasukan kebangsaan bagi membakar api perjuangan mereka.
“Saya lagi suka bising, sebab bila bising ini saya rasa fighting spirit, jadi saya perlukan mereka.
“Saya tak jangka sebab masa dekat Indonesia Pramudya dan beberapa pemain cedera, jadi kita kena guna peluang ini sebaik mungkin untuk berikan yang terbaik,” katanya kepada media.
Bagaimanapun, mereka enggan terlalu memikirkan tentang sasaran peribadi kerana mereka menganggap ini sebagai medan pengalaman buat mereka namun tetap ingin menunjukkan aksi sebenar mereka.
Sebelum ini, mereka pernah beraksi dalam Sukan SEA 2021, Vietnam dan Terbuka Indonesia sebagai landasan bagi mengasah pengalaman di peringkat antarabangsa.