RASA teruja lebih menguasai pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berbanding tekanan menjelang saingan Terbuka Malaysia 2024, esok.
Selepas tiga minggu berehat dari kejohanan, Aaron mengakui rasa teruja untuk kembali beraksi di Terbuka Malaysia, membuak-buak dan dia merindukan sorakan sokongan peminat tempatan.
Menurutnya, suasana kemeriahan serta sorakan padu oleh penyokong yang hadir ke Axiata Arena menjadi detik yang amat bermakna dan dirindukan.
“Saya rasa lebih semangat bermain di sini (Axiata Arena), aura itu lain jika di Malaysia. Saya bangga dengan penyokong-penyokong yang sentiasa memberi sokongan kepada kami.
“Kali ini kami tidak rasa tertekan tetapi lebih teruja kerana sudah lama tidak beraksi di Malaysia (sejak Malaysia Master pada Mei lepas). Harapan saya kali ini adalah untuk persembahkan aksi lebih baik berbanding sebelum ini.
“Sekurang-kurangnya dapat ke final, soal menang kejohanan atau sebaliknya, tidak boleh cakap sekarang,” kata Aaron.
Gandingan nombor empat dunia itu akan membuka gelanggang menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard pada pusingan pertama.
Tahun lalu, Aaron-Wooi Yik terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia, selepas ditunjuk jalan keluar oleh gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, 10-21, 21-23.