PERCATURAN strategi yang mudah dibaca oleh pihak lawan telah membuatkan beregu wanita negara, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing tewas di saingan awal kejohanan Terbuka Malaysia 2024, pada Rabu.
Pertemuan pertama mereka bersama beregu wanita No.2 dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee mencatatkan keputusan kalah straight set 14-21, 13-21.
Anna Cheong mengakui kekuatan yang ada pada wakil beregu dari Korea Selatan iaitu lebih bijak dalam perancangan strategi dan aksi yang mereka tampilkan lebih bagus daripada mereka.
“Saya rasa mereka membaca perancangan kami dengan lebih cepat dan mereka berjaya gunakan strategi mereka untuk menyerang kita semula. Mungkin mereka telah menampilkan permainan yang lebih bagus daripada kami.
“Saya juga rasa gembira dan teruja dapat bermain di hadapan penyokong tahun ini tetapi saya akui peluang untuk memberi saingan kepada pihak lawan yang lebih profesional sangat susah. Kita perlu jadi lebih baik untuk mampu bagi saingan kepada mereka,” kata Anna.
Anna yang sebelum ini terpaksa berehat selama setahun selepas mengalami kecederaan kaki bagaimanapun sudah pulih sepenuhnya tetapi dia masih belum boleh beri prestasi yang jauh lebih baik seperti sebelumnya.
“Keadaan kaki saya sudah baik cuma belum sampai lagi ke tahap seratus peratus untuk capai kondisi yang dahulu. Tetapi secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi saya setakat ini,” tambahnya.
Sementara itu, Mei Xing juga terpaksa akur dengan kekalahan pertama di kejohanan ini namun baginya, corak permainan yang dipamerkan oleh beregu dari Korea Selatan dapat dijadikan pengajaran untuk hari ini.
“Kekuatan dengan kelajuan pihak lawan lebih baik daripada kami. Selepas ini, kami juga akan buat yang lebih bagus dari segi strategi kerana tadi apabila kami cuba menukar strategi untuk dapatkan mata, dalam masa yang sama mereka juga tukar corak perlawanan mereka.
“Dan dari situ saya juga dapat belajar daripada mereka,” ujar Mei Xing.