AARON Chia-Soh Wooi Yik menjangkakan pertembungan sengit di pusingan kedua Terbuka Malaysia, selepas dijadual menentang rakan sepelatih, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Gandingan lelaki nombor empat dunia itu, melepasi pusingan pertama selepas dipaksa bermandi peluh oleh gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

Meskipun Kjaer-Sogard berada jauh di ranking ke-22 dunia, wakil Eropah itu memberi cabaran sengit kepada pemain negara, dan mengheret perlawanan ke rubber set sebelum wakil negara memenangi perlawanan 20-22, 21-13, 21-13.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menempah pertemuan dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik di pusingan kedua Terbuka Malaysia 2024.

“Saya rasa perlawanan esok tidak mudah kerana kami sering berlatih bersama dan kita tahu masing-masing punya permainan.

“Jadi, bagi saya, sesiapa yang akan mara ke pusingan seterusnya, sama sahaja kerana kami berdua membawa nama Malaysia,” kata Aaron.

Terdahulu, Sze Fei-Izzuddin menempah tiket ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-17, 22-20.

“Bermain di laman sendiri, di hadapan penyokong sendiri memberi semangat tambahan kepada kami,” kata mereka selepas tamat perlawanan.