TEMPOH sebulan rehat dari kejohanan akan dimanfaatkan sebaiknya jaguh perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Ng Tze Yong untuk memastikan kemaraan lebih jauh di kejohanan Terbuka Malaysia yang akan bermula kira-kira seminggu sahaja lagi.

Pemain berusia 23 tahun yang masih mencari rentak untuk tampil lebih konsisten di pentas badminton elit dunia, bagaimanapun mengharapkan program latihan yang disediakan jurulatih, dapat mengubah penampilan pertamanya di Axiata Arena, pada 9 hingga 14 Januari ini.

Ng Tze Yong mahu tampil dengan prestasi lebih konsisten tahun ini.

“Saya harap rehat dari kejohanan sebulan ini, boleh tampil dengan prestasi lebih baik.

“Sekarang saya melakukan persiapan mengikut program disediakan jurulatih, tapi apa program itu boleh tanya beliau (jurulatih),” kata Tze Yong yang menjalani latihan di bawah kendalian Hendrawan.

Pemain yang berada di ranking ke-23 dunia itu, dijadual membuka tirai saingan Terbuka Malaysia menentang pemain berusia 24 tahun Jepun, Koki Watanabe di pusingan pertama.

Berdasarkan rekod pertemuan tunggal, pemain ranking ke-23 dunia dari negara matahari terbit itu memiliki kelebihan apabila memenangi pertemuan di Terbuka Jepun, Julai tahun lalu.

Ng Tze Yong memerlukan kekuatan mental untuk berdepan pemain Top 10 dunia.

Watanabe menewaskan pemain negara yang menghuni ranking ke-15 dunia, 21-17, 21-14 pada pertemuan pertama mereka itu.

“Tahun lepas saya kandas di pusingan kedua, saya harap dapat memperbaikinya tahun ini, tetapi tidak mudah kerana saya akan jumpa Kodai yang pernah tewaskan saya di Jepun.

“Apapun terjadi, saya perlu lebih fokus dari satu mata ke satu mata.

“Paling penting, saya berharap bebas dari kecederaan sepanjang tahun ini kerana mahu layak ke Olimpik dan saya mahu masuk dalam Top 10.”

Pada aksi tahun lalu, selepas menewaskan pemain Vietnam, Nhat Nguyen di pusingan pertama, perjalanan Tze Yong di Terbuka Malaysia 2023, tersekat di pusingan kedua apabila tewas kepada Kodai Naraoka (Jepun) 21-15, 19-21, 15-21 dalam perlawanan yang cukup dramatik.