MUSIM 2024 diharap menjadi tahun kebangkitan buatnya selepas mengharungi prestasi tidak menentu sepanjang 2023.
Bekas juara remaja dunia dua kali itu, melangkah ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas menewaskan wakil Taiwan, Sung Shuo Yun 21-18, 21-11 pada aksi pusingan pertama di Axiata Arena.
Pada musim lalu, Jin Wei, 23, menyertai 19 kejohanan Jelajah Dunia namun 18 kali tewas di pusingan awal (pusingan pertama dan kedua).
Pencapaian terbaiknya adalah mara ke separuh akhir Terbuka Hong Kong.
“Tahun lalu tidak mudah untuk semua orang dan kami bernasib baik dapat melaluinya dan meneruskan perjuangan untuk kelayakan ke Sukan Olimpik.
“Setiap hari saya bangun dengan tekad untuk cuba mengatasi batasan diri saya dalam latihan biarpun dua atau tiga kali mengalamai kekejangan.
“Sepanjang sebulan untuk persiapan Terbuka Malaysia kali ini, fokus utama adalah menguatkan fizikal.
“Saya juga berlatih dengan beberapa pemain lelaki sebagai rakan ‘sparring’ dan ia sangat membantu meningkatkan prestasi saya. Saya masih orang yang sama tetapi sedang mencuba untuk melakukan sesuatu yang baharu,” katanya pernah menjalani pembedahan usus pada 2019.
Menantinya di pusingan kedua, pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung yang mara selepas menewaskan wakil Jepun, Natsuki Nidaira, 20-22, 21-18, 21-14.
“Saya akan menentang seorang pemain yang berpengalaman, sudah tentu ia tidak mudah. Jadi, saya perlu terus berjuang dan berikan tentangan sengit,” katanya.
Sementara itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See yang membuat penampilan terakhir di Terbuka Malaysia turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Chang Ko Chi-Lee Chih Chen dari Taiwan 11-21, 26-24, 21-14.
Mereka akan menentang pilihan kelima kejohanan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin bagi perebutan tiket ke suku akhir.