PERMULAAN muram pada hari ketiga saingan Terbuka Malaysia apabila perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei gagal menyaingi kehebatan pemain perseorangan wanita ranking ke-4 dunia, An Seyoung dari Korea Selatan.
Menurut Jin Wei, jurang antara dia dengan pemain Korea tersebut sangat jauh dan masih banyak perkara yang perlu dilakukan seandainya ingin pergi lebih jauh dalam kejohanan akan datang.
Tambahnya lagi, lawannya memiliki setiap pukulan yang sangat berkualiti dan dia mampu mengekalkan rentak tersebut secara konsisten.
Bagi Jin Wei , dia menyedari kemampuannya sebagai pemain profesional pada ketika ini secara realitinya tidak mampu menandingi pemain dari Korea yang baru berusia 21 tahun itu.
“Saya rasa setiap shot dan pukulannya sangat kualiti dan konsisten dan harus bekerja keras lagi selepas ini. Kemampuan saya tidak cukup berbanding dia (Seyoung) sangat tenang ketika bermain,” kata pemain berusia 23 tahun yang tewas 10-21, 11-21 kepada Seyoung.
Bagaimanapun, Jin Wei enggan menoleh ke belakang sebaliknya ingin bangkit dalam empat lagi kejohanan yang bakal disertainya selepas ini.
Jin Wei turut mengesahkan akan beraksi untuk saingan Terbuka India pada 17-22 Januari tahun ini dan Indonesia Masters pada 24-29 Januari.
“Baharu sahaja permulaan tahun baru, masih lagi segar. Ada empat lagi kejohanan selepas ini. Saya akan cuba pergi sejauh yang saya mampu lakukan,” jelasnya.