SEMUANYA bagaikan tidak menjadi buat gandingan profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, apabila terpaksa akur kepada kekuatan lawan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada suku akhir Terbuka Malaysia 2024.

Selepas beraksi cemerlang pada dua pusingan awal, Yew Sin-Ee Yi kehilangan punca apabila setiap strategi digunakan, mudah dipatahkan lawan yang juga bekas juara dunia.

“Hari ini permulaannya OK! Tetapi selepas itu, mereka ‘tangkap’ apa yang kita nak main, mereka mengawal permainan, kita menyerang dari depan tak boleh, bertahan juga tak menjadi,” kata Yew Sin, sejurus tamat perlawanan.

Gandingan kedua terbaik negara itu tewas 15-21, 9-21 dalam tempoh 34 minit, sekali gus membolehkan Hoki-Kobayashi meraih kemenangan kelapan daripada 10 pertemuan antara kedua-dua pasangan.

Mengakui kecederaan tidak mengganggu prestasinya di suku akhir hari ini, Ee Yi berkata, gandingan Jepun terlalu ampuh membaca strategi gandingan negara dan setiap servis kebanyakannya bertahan hanya tiga pukulan.

Meskipun tewas, Yew Sin-Ee Yi berjaya menyamai pencapaian tahun lalu, mara ke suku akhir, sekali gus menjadi permulaan baik 2024 dan juga langkah yang baik untuk mengumpul mata kelayakan Olimpik Paris.