BEREGU lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mengulangi pencapaian Terbuka Malaysia tahun lalu, apabila melangkah ke suku akhir selepas mengejutkan pilihan keempat kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-10, 11-21, 24-22.
Pasangan yang berada di ranking ke-12 dunia itu mempamerkan kekuatan mental yang tinggi terutamanya ketika lawan menyamakan kedudukan 20-20, pada set penentuan sebelum memenangi perlawanan 24-22.
“Kami tidak fikirkan mata. Ketika mendahului 20-18, memang kami fikir dapat menang tetapi melakukan beberapa kesilapan mudah. Selepas ini kami tidak mahu ulang kesilapan itu lagi.
“Sokongan padu peminat di stadium juga menjadi pencetus kepada kemenangan kami hari ini. Kami juga mengubah permainan dan ianya membuahkan hasil,” katanya.
Pada aksi suku akhir esok, Ee Yi-Yew Sin dijadualkan menentang beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.