PERLAWANAN penuh muslihat bakal dihadapi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila bertemu pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen apabila di pusingan kedua Terbuka Perancis, esok.

Biarpun memiliki kelebihan di atas kertas, pasangan nombor lima dunia negara itu tidak boleh memandang enteng cabaran dibawa Fang Chih-Fang Jen yang menduduki ranking ke-24 kerana mereka sudah membuktikan memiliki kemampuan untuk melakar kejutan.

Ini terbukti selepas pasangan berkenaan berjaya menewaskan satu lagi gandingan negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di pusingan pertama, semalam biarpun mereka tewas dalam semua tiga pertemuan sebelum itu.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani disingkir Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dari Taiwan, pada pusingan pertama Terbuka Perancis.

Aaron-Wooi Yik pula tidak perlu bermandi peluh untuk melangkah ke pusingan kedua selepas lawan mereka dari Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel menarik diri ketika terikat 12-12 di set pertama.

Difahamkan, gandingan Jerman itu terpaksa menarik diri selepas Lamsfuss mengalami kecederaan.

Walaupun timbul kebimbangan Aaron-Wooi Yik mungkin belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya selepas hanya 10 minit beraksi di gelanggang, semalam namun Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya rentak permainan mereka tidak akan terjejas.

 Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu cepat mengadaptasi gelanggang selepas hanya beraksi 10 minit pada pusingan pertama pada Selasa,

“Sekurang-kurangnya mereka sudah bermain untuk beberapa mata dan saya percaya mereka sudah boleh dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

“Apa yang mereka perlu lakukan adalah memberi fokus sepenuhnya apabila turun untuk aksi pusingan kedua nanti,” kata Rexy kepada BH Sukan.

Selain Aaron-Wooi Yik, satu lagi gandingan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turun akan beraksi di pusingan kedua, esok.

Mereka bagaimanapun berdepan ujian getir bagi memburu tempat ke suku akhir apabila dijadual menentang pasangan nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.