TAHNIAH! Pearly Tan- M.Thinaah melakar sejarah baharu apabila muncul pasangan wanita pertama dari Malaysia bergelar juara Terbuka Perancis pada Ahad.

Gandingan negara yang menduduki ranking ke-11 dunia itu mengatasi gandingan nombor tujuh dunia dari Jepun, Mayu Matsomoto-Wakana Nagahara, 21-19, 18-21, 21-15, pada final sebentar tadi.

Sememangnya aksi seimbang dijangka antara dua gandingan ini namun prestasi konsisten Pearly dan Thinaah selain keinginan besar mereka membolehkan kemenangan memihak kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu.

Ini adalah kejuaraan pertama Pearly-Thinaah pada kejohanan berstatus Super 750.

Tahun lalu, gandingan ini muncul juara Terbuka Switzerland berstatus Super 300.

Prestasi Pearly-Thinaah di kemuncak sejak Kejohanan Dunia Ogos lalu dan mereka hampir meraih gelaran Super BWF pada Terbuka Jepun namun Pearly mengalami kecederaan yang disangka Ligamen Anterior Cruciate atau ACL, namun disahkan hanya mengalami kekeangan otot lutut.

Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky, tidak menetapkan sebarang sasaran kepada gandingan ini kerana mahu Pearly mencapai tahap kecergasan terbaik, namun kemenangan ini menjadi bukti latihan yang diterapkan kepada gandingan ini ketika proses pemulihan Pearly, amat membanggakan.

Selepas ini, Pearly-Thinaah akan beraksi di Terbuka Hylo (Jerman) dan mereka dijadual menentang gandingan Belanda, Debora Jille-Cheryl Seinen di pusingan pertama.