CABARAN Malaysia di Terbuka Perancis terus bersemarak apabila Pearly Tan-M Thinaah melepasi saingan suku akhir hari ini, namnun nasib berbeza ditempuhi wakil beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.
Berdepan pilihan ketiga dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, tugas berat menanti gandingan negara kerana gandingan Jepun itu mempunyai rekod 6-0 ke atas gandingan Pearly-Thinaah.
Kelebihan itu begitu ketara pada set pertama apabila Pearly-Thinaah tunduk 15-21, sebelum merampas dua set berikutnya dengan kemenangan 21-14, 21-14.
Kemenangan itu membawa mereka ke separuh akhir, esok dan akan berdepan pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee yang mengatasi pilihan utama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.
Kedua-dua gandingan tidak pernah bertemu di pentas antarabangsa dan ini membuka peluang terbaik buat pasangan negara untuk mara ke final Terbuka Perancis.
Terdahulu, Yew Sin-Ee Yi gagal meneruskan rentak kemenangan apabila akur dengan ketangkasan pemain Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho.
Pasangan professional negara itu tunduk 18-21, 18-21.