KEJOHANAN Terbuka Perancis menjadi medan terakhir mengukur prestasi diri buat pemain skuasy wanita nombor satu negara, S Sivasangari sebelum memburu pingat emas di temasya Sukan Asia 2022, di Hangzhou, China, September depan.
Pemain negara yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berazam menukar warna pingat dari perak dimenangi pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, kepada emas.
Menyedari lawan yang akan ditentang bukan mudah terutama saingan yang diterima daripada pemain Jepun dan Hong Kong, Sivasangari akan memastikan dia memberi aksi terbaik di Perancis nanti.
“Saya tidak letakkan apa-apa sasaran di Perancis tapi ia adalah satu kejohanan yang baik untuk saya membuat persediaan menghadapi Sukan Asia.
“Kejayaan di Perancis mampu memberikan saya suntikan semangat untuk bekalan di Sukan Asia nanti,” katanya.
Sivasangari menyertai kejohanan Terbuka Perancis dari 12 hingga 17 September depan, sebagai medan terbaik untuknya mengukuhkan prestasi sebelum turun di Sukan Asia yang akan bermula 23 September hingga 8 Oktober.
Mengulas mengenai cabaran yang bakal diterima di Sukan Asia, pemain berusia 24 tahun itu berkata, cabaran dijangka datang daripada pemain Hong Kong, Chan Sin Yu selain pemain dari Jepun Satomi Watanabe iaitu pemain Asia di ranking paling tinggi dunia (18) dan pemain veteran India, Joshna Chinappa.
Menurut Sivasangari, peraturan Sukan Asia yang hanya membenarkan dua wakil bagi setiap kategori dan setiap pemain hanya boleh beraksi dalam acara berpasukan dan satu lagi acara individu (perseorangan atau beregu campuran) akan menjadikan bilangan pemain dalam undian utama tidak ramai.
Edisi ke-19 Sukan Asia akan berlangsung dari 23 September hingga 19 Oktober dan skuasy berharap untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian pada temasya terakhir di mana mereka membawa pulang dua emas, satu perak dan satu gangsa.