AKSI Terbuka Singapura 2022 semakin rancak setelah tiga gandingan beregu campuran negara serta wakil perseorangan negara menempah tiket ke suku akhir kejohanan tersebut.
Beregu campuran kian meningkat naik, Chen Tang Jie-Valeree Siow jelas berada pada kelas tersendiri apabila mudah menyingkirkan Reginald Lee Chun Hei-Ng Tsz Yau straight set 21-13 21-7.
Aksi cemerlang tersebut diteruskan gandingan muda Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei apabila mengejutkan pasangan ke 13 dunia dari Denmark, Christiansen-Alexandre Boje juga dengan straight set 21-11 21-19.
Episod ceria tersebut berterusan setelah kem negara terus membuktikan kehebatan apabila gandingan Goh Soon Huat – Shevon Jamie Lai mengejutkan naib juara Malaysia Masters 2022, Rivaldy- Mentari dalam pertarungan rubber set 10-21 21-18 21-10.
Sementara itu, aksi perseorangan negara yang diletakkan kepada harapan pingat emas Komanwel 2022, Ng Tze Yong tidak berhadapan sebarang masalah meneruskan kemaraan ke suku akhir setelah menang straight set 21-15 21-13 mengatasi perseorangan Hong Kong, Lee Cheuk Yiu.
Saingan di suku akhir pasti akan lebih getir dan mencuri tumpuan peminat badminton tanah air apabila gandingan negara, Chen Tang Jie-Valeree Siow bakal membuat perhitungan dengan beregu no. 3 dunia dari Thailand, Puavaranukroh-Terratanachai manakala ianya peluang terbaik buat Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai membalas dendam lima kekalahan berturut-turut kepada wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet sebelum ini.
Dalam pada itu, aksi perseorangan negara juga pastinya menarik untuk disaksikan apabila harapan negara,Ng Tze Yong akan turun bertemu perseorangan ke-6 dunia, Anthony Ginting pada suku akhir di Stadium Tertutup Singapura esok.