PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia telah ditunjukkan jalan keluar pada pusingan pertama Terbuka Singapura oleh pemain China Weng Hongyang di Stadium Tertutup Singapura pada Rabu.

Zii Jia, pemain ranking nombor 10 dunia, tewas 20-22, 21-16, 19-21 dalam masa 74 minit kepada Hongyang, yang merupakan naib juara Malaysian Masters dua minggu lalu.

Bagaimanapun, berita baik apabila beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Christo Popov-Toma Junior Popov dari Perancis 21-18, 21-13.

Mereka akan menentang pemain Indonesia Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan esok.

Sementara itu, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa menarik diri apabila Pearly mengalami kecederaan tangan kanan selepas terjatuh ketika menentang Rin Iwanaga-Kie Nakanishi (Jepun) di pusingan pertama.

Insiden itu berlaku ketika gandingan negara ketinggalan 13-21, 21-17, 9-16.