NG Eain Yow dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan berharga ke atas wakil India, Saurav Ghosal pada pusingan pertama kejohanan skuasy Terbuka Singapura di OCBC Arena, Singapura, pada Selasa.

Pemain utama negara yang kini menghuni ranking ke-24 dunia itu, menundukkan pemain pilihan ke9/16, Ghosal, 12-14, 11-4, 9-11, 14-12, 11-1.

Kemenangan ke atas Ghosal yang kini di ranking ke-16 dunia, membuka laluan untuk pemain negara berdepan pemain nombor 2 dunia, Paul Coll dari New Zealand di pusingan kedua pada Rabu.

NG EAIN YOW (kanan) membalas pukulan Saurav Ghosal sewaktu beraksi pada pusingan pertama Terbuka Singapura di OCBC Arena, Singapura, hari ini. – GAMBAR/singaporesquashopen.com.

“Saya agak kecewa dengan diri saya pada set pertama, saya berada pada kedudukan yang mana kemenangan berpihak kepada saya. Kami telah bertemu pada Kejuaraan Berpasukan Asia beberapa minggu lalu dan situasi sama berlaku pada game pertama.

“Di set ketiga dan keempat saya hilang fokus sedikit, permainan diheret sehingga ke set penentuan, saya sedar yang saya perlu terus berjuang, sejujurnya, saya tak rugi apa-apa, saya sendiri tidak berapa pasti apa yang berlaku pada penghujung set keempat.

“Saya cuma terus berjuang dan terus berlari. Saya benar-benar gelisah apabila dia menyempurnakan pukulan voli yang tinggi dan saya hanya merembat bola dengan kuat.

“Saya bernasib baik, dalam set kelima, kekuatan fizikal berpihak kepada saya,” kata Eain Yow menerusi laman web singaporesquashopen.com.

Eain Yow yang turut menerima sokongan daripada kedua orang tuanya yang hadir menyaksikannya pada Terbuka Singapura berazam untuk memberikan persembahan terbaik menentang pilihan kedua, Coll di pusingan kedua, esok.

Seorang lagi wakil lelaki negara, Ivan Yuen kandas di pusingan pertama.

Ivan tewas mudah kepada pemain bukan pilihan dari Perancis, Gregoire Marche 5-11, 5-11, 8-11 dalam masa 35 minit.

Aifa  (kanan) membalas pukulan Olivia Clyne dari Amerika Syarikat dalam aksi pusingan pertama Terbuka Singapura di OCBC Arena, Singapura, hari ini. – GAMBAR/singaporesquashopen.com.

Sementara itu, dua wakil wanita negara, Rachel Arnold dan Aifa Azman turut mengikut jejak langkah Eain Yow ke pusingan kedua selepas mengejutkan lawan masing-masing di pusingan pertama.

Pemain nombor 28 dunia, Rachel mengejutkan Tesni Evans dari Wales yang menghuni ranking ke-13 dunia 9-11, 11-3, 13-11, 11-8 dalam masa 47 minit.

Aifa yang kni di ranking ke-24 dunia, mengambil masa hampir sejam untuk mengalahkan pemain nombor 20 dunia, Olivia Clyne dari Amerika Syarikat 11-8, 9-11, 11-7, 13-15, 11-2.

Pada pusingan kedua, esok, laluan getir menanti Rachel dan Aifa yang bakal menghitung pertemuan dengan dua jaguh Mesir.

Rachel akan turun beraksi menentang pemain nombor 7 dunia, Rowan Elaraby, manakala Aifa bertemu Nour El Tayeb yang menghuni ranking ke-6 dunia.

Seorang lagi wakil negara, Low Wee Wern yang pernah menghuni ranking No. 4 dunia sebelum ditimpa kecederaan lutut yang membelenggu kariernya, terkandas di pusingan pertama setelah tumpas kepada pemain nombor 22 dunia, Nadine Shahin dari Mesir 12-10, 8-11, 11-13, 7-11 dalam masa 43 minit.