KETIKA pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting memiliki tenaga ‘fresh’ berikutan tidak perlu beraksi di pusingan pertama selepas Lee Zii Jia menarik diri dari Terbuka Singapura, perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao masih mampu berdiri dengan bangga apabila melangkah ke suku akhir dengan menewaskan jaguh negara tetangga itu.

Mengalahkan Ginting, menjadi pencapaian terbesar buat Jun Hao bagi musim ini setelah menyingkir pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia di pusingan kedua kejohanan pada Khamis.

Jun Hao yang berada di kedudukan ke-36 dunia, menampilkan aksi ‘kelas A’ untuk mengatasi Ginting dengan kemenangan 21-10-21, 21-8, dalam pertarungan selama 60 minit di Stadium Tertutup Singapura itu.

Sebagai rekod, ini adalah kemenangan sulung Jun Hao ke atas Ginting selepas tewas dalam kedua-dua pertemuan sebelum ini, iaitu di Terbuka Hong Kong 2023 dan Terbuka India 2024.

Ia juga menjadi penampilan kedua Jun Hao di suku akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF musim ini selepas turut melakukannya di Masters Sepanyol, Mac lalu.

“Saya rasa saya berman lebih agresif sepanjang perlawanan dan ia menjadi, memberikan kegembiraan kerana ini adalah salah satu pencapaian buat saya.

“Saya pernah menentangnya dua kali sebelum ini tetapi kali ini, saya lebih bersedia menghadapinya yang sentiasa kuat ketika menyerang,” kata Jun Hao kepada BWF, selepas tamat perlawanan.

Tambah Jun Hao, ketika rali dilihat lancar dan memihaknya, dia menggunakan peluang itu sebaik mungkin, termasuklah melebarkan jarak pendahuluan ketika di hadapan.

Pada saingan Masters Malaysia, minggu lalu, Jun Hao terkandas di pusingan kedua selepas tunduk di tangan pemain nombor enam dunia dari China, Li Shi Feng.

Pada saingan suku akhir, Jumaat, Jun Hao akan menentang pemenang perlawanan antara juara Masters Malaysia yang juga pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen bagi merebut tiket ke separuh akhir, esok.

Axelsen mara ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Chinese Taipei, Lin Chun Yi 21-16, 14-21, 21-16.