SELEPAS mencipta kenangan manis di Masters Malaysia, pasangan suami isteri Goh Soon Huat-Shevon Lai berdepan ujian terbesar di Terbuka Singapura, apabila dijadual menentang beregu campuran nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong di pusingan kedua, esok.
Juara Masters Malaysia 2024 yang menghuni ranking ke-16 dunia itu, melepasi pusingan pertama, dengan menewaskan gandingan ke-47 dunia dari India, Sumeeth Reddy-Sikki Reddy 21-18, 21-19 di Stadium Tertutup Singapura.
“Hari ini saya rasa agak kruang stabil, mungkin disebabkan perlawanan pertama di sini dan masih tercari-cari rentak dalam gelanggang.
“Mungkin akan mengambil masa sedikit tetapi harapnya perlawanan selepas ini kami dapat lakukan lebih baik,” kata Shevon, kepada SPO TV, sejurus selepas tamat perlawanan.
Menurut Soon Huat pula, dia dan Shevon kepenatan dari segi mental, namun perlu kekal fokus dan menjaga kondisi badan.
Lawan mereka di pusingan kedua esok, Si Wei-Ya Qiong pula mara ke pusingan kedua selepas mendapat ‘bye’ di pusingan pertama sekali gus menjadikan pertemuan antara dua beregu ini sebagai satu pertembungan epik dengan rekod kemenangan kesemuanya memihak kepada gandingan China, 11-0.
Kali terakhir kedua-dua pasangan ini bertemu adalah di separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Dubai pada tahun lalu yang menyaksikan Si Wei-Ya Qiong meraih kemenangan straight set, 21-11, 21-13.
“Mereka terlalu kuat dan konsisten dari segi kelajuan dan kekuatan. Berdepan mereka sudah tentu kami perlu bersedia dari segi aspek yang sama, bukan mental sahaja.
“Esok, tidak kira menang atau kalah, kami akan berikan yang terbaik dan menikmati perlawanan itu,” kata Shevon.
Di Masters Malaysia minggu lalu, Soon Huat-Shevon mendedikasikan gelaran juara diraih sebagai hadiah perkahwinan mereka pada 4 Mei lalu apabila menewaskan gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-18, 21-19.