JUARA  Terbuka Thailand dan naib juara Masters Malaysia, Lee Zii Jia menarik diri dari saingan Terbuka Singapura 2024 di saat akhir, berikutan masalah kecederaan yang dialami sebelum ini.

Menerusi perkongsian Team LZJ di akaun rasmi aplikasi ‘X’, pemain nombor sembilan dunia itu tidak turun beraksi pada pusingan pertama, hari ini.

Keputusan itu secara tidak langsung membolehkan lawannya dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting memperoleh kemenangan percuma untuk bertemu seorang lagi wakil negara, Leong Jun Hao di pusingan kedua, esok.

Kenyataan media dikeluarkan Team LZJ, berkaitan penarikan diri Lee Zii Jia dari Terbuka Singapura 2024.

Menurut hantaran di laman media sosial X Team LZJ, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian perubatan di Singapura yang menasihatkan supaya dia tidak menyertai kejohanan susulan kecederaan hamstring dialaminya.

“Satu keputusan sukar untuk menarik diri daripada Terbuka Singapura, tetapi selepas penilaian perubatan di Singapura, Lee Zii Jia dinasihatkan tidak menyertainya susulan kecederaan hamstring dialami di Terbuka Thailand dan juga Masters Malaysia.

“Program Zii Jia sekarang ini tertumpu kepada proses pemulihan,” kata Team LZJ dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Lee Zii Jia muncul juara Terbuka Thailand, sebelum tewas di final Masters Malaysia. Mungkin kepenatan menjadi alasan mengapa pemain itu tidak mampu meneruskan aksi di Terbuka Singapura.

Di Masters Malaysia minggu lalu, Zii Jia dilaporkan mengalami masalah kekejangan otot di saingan suku akhir namun berjaya meneruskan langkah sehingga ke pentas final sebelum tewas di tangan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 6-21, 22-20, 21-13.

Keputusan itu memanjangkan lagi kemarau Malaysia untuk menjuarai acara perseorangan lelaki di Masters Malaysia sejak kali terakhir dimenangi bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2016 malah menyekat misi Zii Jia untuk merangkul gelaran kedua berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Thailand, dua minggu lalu.

Dalam pada itu, Jun Hao melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi lawan dari Jepun, Kenta Tsuneyama 21-13, 21-16 untuk membuat perhitungan degnan Ginting di pusingan kedua, esok.

Terbuka Singapura bertaraf Super 750 berjaya mengumpul hampir semua pemain Top 20 dunia.