PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mencipta sensasi apabila menyingkirkan juara Seluruh England dari China, Li Shi Feng bagi mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Switzerland dengan kemenangan rubber set 18-21, 21-18, 23-21.
Mengikuti kemaraan pemain tersebut adalah gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menumpaskan lawan dari tuan rumah, Switzerland dengan kemenangan straight set 21-11, 21-13.
Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai turut berhasil ke pusingan kedua selepas bertarung sengit dan memperoleh kemenangan 13-21,21-15, 22-20.
Dalam acara perseorangan wanita pula, Goh Jin Wei terus mempamerkan aksi mantap dengan kemenangan 12-21,21-17, 21-13 dan akan bertemu Pornpawee Chochuwong dalam pusingan kedua.
Perseorangan lelaki pula menyaksikan dua wakil negara mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan lawan masing-masing.
Antaranya adalah Cheam June Wei yang mengetepikan cabaran rakan senegara yang lebih berpengalaman, Liew Daren 21-14, 21-13 serta Ng Tze Yong yang dipaksa berhempas pulas sebelum berjaya mara ke pusingan seterusnya dengan keputusan 23-25, 21-17.
Tze Yong layak secara automatik setelah Soong Joo Ven terpaksa menarik diri akibat kecederaan pada set ketiga ketika pungutan mata 13-4 berpihak Tze Yong.