DUA wakil negara meneruskan cabaran di separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Tasmania, selepas seorang demi seorang ditunjuk jalan keluar.
Pemain lelaki, Addeen Idrakie (gambar) memegang status pilihan ketiga kejohanan, agak gugup di awal permainan hingga tunduk 5-11 kepada pemain New Zealand Temwa Chileshe di set pertama.
Berbekalkan pengalaman, dia bangkit dalam tiga set berikutnya dengan kemenangan 11-9, 11-3, 11-4 .
Kemenangan itu membawanya kepada pertemuan dengan wakil Switzerland Robin Gadola.
Gadola mencipta sensasi di kejohanan ini selepas menyingkir pilihan utama dari Pakistan Muhammad Asim Khan di pusingan kedua.
Di suku akhir, dia menjadikan pilihan ketujuh kejohanan yang juga rakan senegaranya, Yannick Wilhelmi, 5-11, 11-6, 11-8, 11-9 untuk menempah pertemuan dengan Addeen.
Sementara itu, Chan Yiwen kini berseorangan di separuh akhir selepas Ainaa Amani, Aira Azman dan Yusmita Jadishkumar tersingkir di suku akhir.
Yiwen ke separuh akhir dengan menyingkir rakan senegara yang juga finalis Terbuka Bega, Y Yee Xin Ying dengan kemenangan 11-7, 11-5, 11-5.
Justeru Yiwen akan berdepan Alex Hoydon dari Australia yang menundukkan pemain megara, Ainaa dalam pertarungan sengit 7-11, 11-4, 11-2, 8-11, 11-8.
Dalam pada itu, dua lagi wakil negara, Yusmita dan Aira masing-masing tewas kepada pemain Australia dan Hong Kong.
Yusmita kalah kepada Jessica Turnbull 9-11, 6-11, 7-11.
Aira pula kalah kepada Tong Tsz Wing 15-17, 10-12, 5-11.