PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berhempas pulas di pusingan pertama Terbuka Thailand, sebelum lolos ke pusingan kedua.
Pemain ranking ke-10 dunia yang muncul juara pada edisi 2022 itu, berjaya mengatasi wakil China, Lei Lan Xi, 21-17, 23-21 di Stadium Nimibutr, Bangkok, sebelum menempah pertemuan dengan pemain Korea Selatan, Jeon Hueok Jin.
Turut mara ke pusingan kedua, perseorangan lelaki kebangsaan, Leong Jun Hao yang berjaya mengatasi pemain Taiwan, Su Li Yang, dalam pertarungan tiga set 14-21, 21-15, 21-17.
Bekas juara remaja Asia itu akan bertemu pilihan keempat kejohanan dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn, esok.
Aksi beregu lelaki pula menyaksikan pasangan negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King terus menyerlahkan potensi mereka untuk turut melangkah ke pusingan 16 terbaik.
Pasangan ranking ke-64 itu yang muncul naib juara Masters Sepanyol pada Mac lalu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengejutkan beregu ke-21 dunia dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 16-21, 21-13, 21-16.
Mereka akan menentang beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.
“Kami gembira apabila dapat menamatkan permainan tanpa sebarang kecederaan.
“Kami bergelut pada set pertama kerana kami tidak dapat bermain cara permainan kami. Namun, semuanya kembali seperti dirancang pada set kedua dan kami berjaya mengekalkan momentum sehingga set penentuan,” kata Wan Arif kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Turut mara ke pusingan kedua adalah satu lagi beregu lelaki kebangsaan, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian yang menewaskan pasangan Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley 21-16, 21-11 bagi menempah pertemuan dengan wakil Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa Nga.
Yap Roy King dan dan Hon Jian yang turut beraksi dalam beregu campuran, melepasi halangan pusingan pertama bersama pasangan masing-masing.
Roy King-Valeree Siow mengatasi wakil Hong Kong, Lui Chun Wai-Fu Chi Yan 21-19, 21-17 dan akan bertemu bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada pusingan seterusnya.
Hon Jian-Go Pei Kee pula menyingkirkan wakil tuan rumah, Neuaduang Mangkornloi-Atitaya Povanon 21-10, 21-15 akan berdepan Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dari Indonesia di pusingan kedua.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi perseorangan wanita negara, K Letshanaa apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama selepas tewas di tangan pemain ranking ke-16 dunia dari Thailand, Supanida Katethong 21-12, 21-10.