PASUKAN ragbi lelaki dan wanita Terengganu, masing-masing membuat kejutan serentak untuk mara ke saingan lebih sengit bagi perebutan kejuaraan Kejohanan Ragbi Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan edisi ke-5 penganjuran dan Kejohanan Ragbi Wanita 15 Sepasukan Kebangsaan yang julung kali dipertandingkan.
Terengganu yang hadir selaku bukan pasukan pilihan sama ada buat pasukan lelaki yang diundi di dalam kumpulan B bersama Wilayah Persekutuan Labuan dan Pahang dan pasukan wanita Terengganu di dalam kumpulan maut untuk bersama pasukan pilihan iaitu Kedah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi aksi Kumpulan B wanita.
Bagi aksi peringkat kumpulan B wanita di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus ternyata tuah perlawanan memihak kepada pasukan tuan rumah untuk menafikan PDRM yang hadir selaku pasukan pilihan dengan dua jatuhan try untuk berkeputusan 14 berbalas 3.
Terdahulu pada aksi perlawanan pertama Terengganu telah dibelasah oleh Kedah berkeputusan 62 berbalas 5. Situasi terkini ini meletakkan pasukan ragbi wanita Terengganu layak untuk mara ke pusingan penentuan separuh akhir bertemu Selangor pada Sabtu ini di Padang Utara, Petaling Jaya.
“Cabaran awal kami setelah keputusan undian kumpulan di mana pasukan lelaki bersama Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan yang semenangnya kita ketahui kemampuan mereka. Begitu juga buat pasukan ragbi wanita Terengganu turut berada dalam kumpulan maut bersama Kedah dan PDRM.
“Kedah dibarisi beberapa pemain-pemain berpengalaman di beberapa kejohanan besar selama ini begitu juga kudrat pemain PDRM yang dibarisi beberapa pemain terbaik mereka dalam Kejohanan Piala Ketua Polis Negara yang telah melabuhkan tirai pada tahun ini.
“Kita tidak boleh nafikan sememangnya kita merupakan pasukan ‘underdog’ berbanding mereka namun cabaran tetap diteruskan walaupun pada awalnya memperlihatkan Terengganu sekadar memperlengkapkan jadual perlawanan,” ujar pengurus pasukan ragbi Terengganu Nizam Kamal kepada FLASH SUKAN.
Manakala aksi sengit sehingga tamat permainan bagi perebutan ke slot suku akhir lelaki bawah 19 tahun dipamerkan buat Terengganu di laman sendiri untuk menafikan Pahang berkeputusan tipis 11 tanpa balasan. Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan merupakan pasukan pilihan bagi aksi kumpulan B lelaki bawah 19 tahun di mana Wilayah Persekutuan Labuan telah dinafikan oleh Pahang seawal perlawanan pembukaan dengan tewas tipis berkeputusan 10-12.