DUA wakil negara di kejohanan Piala AFC 2023/24 menerima nasib berbeza selepas mengetahui lawan masing-masing sejurus selesai undian peringkat kumpulan yang diadakan di AFC House, Bukit Jalil pada Khamis.

Naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC diundi dalam Kumpulan G bersama-sama kelab Indonesia, Bali United, wakil Filipina, Stallion Laguna FC dan kelab Australia, Central Coast Mariners.

Sabah FC pula diundi bersama-sama wakil Vietnam, Haiphong FC, kelab Singapura, Hougang United dan juara Liga 1 Indonesia, PSM Makassar dalam Kumpulan H.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee gembira dengan keputusan undian dan menyatakan pasukannya sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan ini selain mempunyai kelebihan tidak perlu terbang jauh kerana berhadapan lawan serantau.

“Jika dibandingkan dengan pasukan lain, kami berada dalam keadaan yang lebih baik kerana berjaya mengelak kelab dari Australia tetapi kita tidak boleh merasa selesa kerana ianya akan memakan diri terutama ketika bermain di tempat lawan.

Nada yang sama turut dinyatakan Pengurus Pasukan Terengganu FC, Fadzil Wahab yang menyatakan cabaran terbesar pastinya datang dari kelab Australia namun ianya adalah satu ujian terbaik buat skuad Penyu.

“Sudah tentu cabaran terbesar datang dari kelab Australia tetapi ini adalah ujian terbaik buat Terengganu FC dan kami sudah bersedia dari segi persiapan pasukan dan bandar Kuala Terengganu juga telah siap untuk menyambut tetamu,” katanya kepada media selepas selesai majlis undian.

Perlawanan peringkat kumpulan akan bermula pada 18 September dan berakhir pada 14 Disember dengan tiga pasukan teratas kumpulan Zon Asean dan satu pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke peringkat separuh akhir zon yang dijadualkan pada Februari 2024.