PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menggantung enam individu termasuk seorang bekas pemain kebangsaan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak.
Tengku Alias Tengku Ibrahim, Ismail Faruqi Ashari, Muhammad Anuar Dollah, Muhammad Izzudin Muhamat, Fakhrurazi Musa dan Ahmad Fadil Jusoh dikenakan hukuman itu oleh Jawatankuasa Tatatertib PBSNT pada Isnin.
Keenam-enam individu terbabit menerima hukuman berat itu selepas didapati terlibat dalam salahlaku terhadap pengadil ketika final Sukan Terengganu (Sutera) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 28 Mei lalu.
Pengerusinya, Abdul Aziz Hasan berkata, kesemua mereka tidak dibenarkan terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sebarang aktiviti anjuran PBSNT sehingga tempoh yang akan ditetapkan.
“Bagi pegawai, jurulatih dan pemain pasukan Kuala Nerus yang tidak tersenarai, adalah dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti bola sepak di negeri ini.
“Keputusan Jawatankuasa Tatatertib PBSNT ini berkuatkuasa bermula pada 17 Julai,” katanya melalui satu kenyataan.
Pada 28 Mei lalu tular video di media sosial menunjukkan insiden pergaduhan ketika aksi penentuan pingat emas Sutera acara bola sepak menemukan Kuala Nerus dan Marang.
Kesemua yang dihukum merupakan pengurus, jurulatih, pemain dan penyokong pasukan daerah Kuala Nerus.