FOTO : TFC
GERGASI dari Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) bakal menguji barisan pemainnya dengan tiga aksi pemanas badan yang diatur di Lembah Klang, minggu depan.
Pengendali skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner, berkata, TFC akan berentap dengan Selangor 2 pada 31 Mac, PDRM (2 April) dan Negeri Sembilan pada 4 April
Menurut jurulatih berasal Croatia itu, aksi persahabatan itu penting untuk menguji tahap kecergasan pemain menjelang musim baru Liga Malaysia (Liga M) 2024/25.
“Masih terlalu awal untuk bercakap tentang keserasian pemain kerana majoriti mereka adalah muka baharu terutama awang import.
“Namun saya akan membawa skuad terbaik ke Lembah Klang untuk mengadakan tiga perlawanan ujian sebagai medan pemanas badan.
“Ini termasuk ayam tambatan, Ivan Mamut, yang bergelut dengan kecederaan kaki yang saya harap dapat diatasi sebelum bermula musim baru,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Steinbruckner menjelaskan, beliau gembira dengan kekuatan serta kualiti skuad TFC musim ini yang dianggap terbaik dengan kehadiran pemain berkualiti.
Ini termasuk tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid serta pemain import, Manuel Ott, Marin Pilj dan Ismaheel Akinade.
“Begitu juga tonggak skuad B-23 negara, Safwan Mazlan, Ubaidullah Shamsul dan Faris Rifqi yang akan terus diberi peluang dalam kesebesalan utama,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN : Aksi pramusim Terengganu FC hanya dalam negara