MASA depan ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner sama ada kekal atau tidak telah terjawab apabila khidmat pengendali Croatia itu dikekalkan untuk mengemudi naib juara Piala Malaysia itu bagi musim 2024-25.

Perkara itu disahkan serta dikongsi oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd, YB Hishamuddin Abdul Karim menerusi satu hantaran di platform Facebook peribadinya pada Selasa.

Menurutnya, nama Tomislav telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan menerusi satu kertas laporan pembentangan cadangan barisan kejurulatihan dalam satu Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah pada 14 November 2023 bersama-sama pemilihan Ketua Pegawai Operasi TFC.

Pada masa yang sama, Terengganu juga akan turut menerima seorang Pengarah Sukan bagi membantu Tomislav dalam perihal pembelian pemain serta urusan pentadbiran kelab pada musim hadapan.

“Antara senarai nama yang dikemukakan ialah Ketua Jurulatih sekarang dan beliau telah dipersetujui untuk terus membimbing pasukan TFC.

“Seorang Sporting Director juga telah dipersetujui dan dinamakan untuk dilantik atas cadangan Ketua Pegawai Eksekutif sendiri untuk menguruskan perjalanan pasukan secara lebih berobjektif dan berstrategi juga telah dipersetujui mesyuarat ALP TFC Sdn Bhd,” jelasnya dalam hantaran itu.

Hishamuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu menjelaskan Jawatankuasa Teknikal & Pemilihan telah ditubuhkan oleh Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd bagi mengelakkan campur tangan peribadi Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah serta CEO dan COO dalam pembentukan pasukan di bawah TFC.

Difahamkan, Jawatankuasa Teknikal & Pemilihan turut sama disertai barisan kejurulatihan dan telah diberikan mandat untuk mengemukakan cadangan barisan kejurulatihan dan pemain untuk setiap pasukan di bawah TFC pada musim hadapan.

Sebagai tambahan, Hishamuddin memaklumkan rundingan gaji, kandungan kontrak, surat tawaran dan lain-lain perkara akan diuruskan oleh pihak pengurusan TFC Sdn Bhd secara tertib dan mengikut kelulusan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

Kenyataan ini mendapat sokongan padu daripada para penyokong Terengganu yang rata-ratanya mahu Tomislav kekal sebagai ketua jurulatih kerana percaya dengan kebolehannya membina kelab ini untuk jangka masa yang panjang.

Sebagai rekod, selain membawa Terengganu FC ke final Piala Malaysia, Tomislav juga berjaya ke separuh akhir Piala FA dan kini berkedudukan keenam dalam Liga Super serta mempamerkan persembahan cemerlang di Piala AFC dalam tahun pertamanya sebagai ketua jurulatih.