TERENGGANU FC (TFC) kembali ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2018 selepas mengatasi KL City FC 2-1 di separuh akhir kedua untuk menang 4-2 secara agregat.

Kemenangan itu dibantu dua gol berkelas dunia daripada Ivan Mamut sekaligus membolehkan TFC membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga ulangan akhir Piala FA 2022.

Awal saingan menyaksikan TFC cemas seawal minit pertama apabila bola hantaran Declan Lambert yang dikeluarkan Shahrul Nizam Roshasni menuju gawang sendiri mujur tinggi melepasi sasaran.

TFC mula mengatur gerak menerusi percubaan Liridon Krasniqi dari luar kotak penalti hasil gerakan Sony Norde di sebelah kiri sekadar meleret ke sebelah tepi pada minit kesembilan.

Peluang Sang Penyu hadir lagi apabila Mamut merampas bola dari kawalan bek kanan KL City, Kamal Azizi Zabri sebelum mengumpan kepada Norde (m-13) namun dinafikan penjaga gol.

Tiga minit berselang giliran ketua pasukan TFC, Habib Haroon menguji Kevin Ray Mendoza di kubi pelawat tetapi rembatan derasnya ditepis keluar penjaga gol kebangsaan Filipina itu.

Gol dicari-cari TFC terhasil selepas Mamut bijak membuat pusingan melepasi kawalan pemain lawan dan melakukan sepakan leret menewaskan Mendoza pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, skuad Penyu dikejutkan gol penyamaan KL City apabila tandukan Romel Morales minit ke-51 hasil hantaran Haqimi Azim Rosli mudah menemui sasaran.

Kedudukan berubah lagi pada minit ke-67 menyaksikan rembatan lencong Mamut dari dalam kotak penalti membawa TFC kembali memimpin permainan untuk mendahului 2-1 menuju penghujung aksi.

KL City berpeluang mengimbangi kedudukan hasil sepakan sudut Josue berjaya ditanduk kemas Giancarlo Gallifuoco pada minit ke-73 malangnya sekadar menggegar palang.

KL City terpaksa menamatkan permainan dengan 10 pemain gara-gara layangan kad kuning kedua ke atas Kenny Pallraj sebelum pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin menamatkan permainan.