MALAYSIAN Football League (MFL) menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa dua kelab baharu kini dicalonkan sebagai wakil Malaysia untuk beraksi dalam saingan ASEAN Club Championship (ACC) 2024-25 anjuran Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Penghujung Januari lalu, MFL menerusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencalonkan Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC untuk beraksi dalam saingan tier ketiga kelab Asia yang diperkenalkan musim ini.

Pencalonan itu dibuat berdasarkan pencapaian kedua-dua kelab tersebut menamatkan saingan Liga Super 2023 di tempat ketiga dan keempat namun ianya terpaksa diubah selepas AFF memberikan maklum balas kepada FAM dan MFL supaya mencalonkan naib juara pertandingan berpiala iaitu Piala Malaysia 2023 dan Piala FA 2023.

Datuk Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL

“Selepas kami mendapat maklum balas daripada AFF, kami kini mencalonkan Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC berdasarkan pencapaian mereka dalam saingan Piala Malaysia dan Piala FA,” katanya ketika ditemui di Program Demi Rimba Kita 2024 pada Khamis.

Namun begitu, difahamkan, pencalonan Terengganu FC dan KL City FC untuk beraksi dalam saingan ACC 2024-25 itu belum diputuskan secara mutlak kerana MFL mahu membincangkan mengenai penentuan slot itu dengan lebih lanjut bersama AFF agar ianya lebih selaras.

“Sukar buat kami, kelab-kelab perlu bermain kedua-dua pertandingan AFC dan AFF pada waktu yang sama bukan sahaja daripada perspektif hari perlawanan tetapi juga daripada segi pencegahan kecederaan dan penyertaan kelab-kelab dalam pertandingan AFC, kami akan bincangkan juga,” jelasnya.

KL City FC naib juara Piala FA 2023

Saingan ACC yang melibatkan 12 pasukan musim ini dijadualkan berlangsung dari Ogos 2024 hingga Februari 2025 bagi peringkat kumpulan manakala peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir pula berlangsung pada April dan Mei 2025.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, saingan ACC 2024-25 menjanjikan wang ganjaran berjumlah lebih daripada USD1 juta secara keseluruhan.