TERENGGANU Football Club (FC) Sdn. Bhd. berhasrat melanjutkan kontrak pemain sayap Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim yang akan tamat pada 30 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FCSB, Ab Rasid Jusoh berkata, pengurusan dan barisan kejurulatihan telah membincangkan status pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

“Kita akui prestasi pemain ini dan memang kita telah menyuarakan hasrat untuk mengemukakan lanjutan kontrak.

“Cuma Faisal belum memberi keputusan bagi perkara terbabit.

“Dia memaklumkan mahu menumpukan sepenuh tumpuan dan memberikan persembahan terbaik untuk pasukan kebangsaan di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Majlis Pelancaran Koleksi Jersi Away Terengganu di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), pada Jumaat.

Memetik kenyataan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selain Faisal, seramai 19 pemain Terengganu FC II dan 10 pemain Terengganu FC juga akan tamat kontrak pada November ini.

Penolong ketua jurulatih Terengganu FC, Hairuddin Omar pula memaklumkan, barisan kejurulatihan juga telah mencadangkan perkara tersebut kepada pengurusan.

“Faisal pemain yang penting untuk Terengganu FC. Jadi, kita harap rundingan antara pengurusan dan pemain itu membuahkan hasil positif,” katanya.