TERENGGANU FC (TFC) masih menunggu kata putus Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung penyertaan dalam Kejuaraan Kelab Asean, musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd. Sabri Abas, berkata, pihaknya bagaimanapun optimis akan mendapat ‘lampu hijau’ dari dua organisasi itu untuk berentap pada kejohanan dikenali sebagai Piala Shopee itu.
Menurut Mohd. Sabri, TFC telah pun menghantar surat persetujuan untuk mengambil bahagian dalam kejohanan yang membariskan 12 kelab Asean itu yang dijangka bermula pada Julai atau Ogos.
“Dijangka maklum balas daripada AFF serta MFL akan diterima dalam masa terdekat dan pihak kami yakin jika semuanya berjalan lancar, tiada halangan untuk TFC beraksi di pentas Kejuaraan Kelab Asean.
“Penyertaan TFC dalam kejohanan itu juga bukan sekadar pelengkap jadual sebaliknya kami menyasarkan dua kedudukan teratas peringkat kumpulan seterusnya mara ke separuh akhir.
“Selain TFC, KL City turut dijangka mewakili Malaysia dengan 12 pasukan termasuk dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Laos dibahagikan kepada dua kumpulan,” katanya kepada Flash Sukan.
Menurut Mohd. Sabri, persiapan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu kini di landasan tepat sebelum kurang sebulan sepak mula Liga Super meskipun dibelenggu kecederaan tiga tonggaknya.
“Ivan (Mamut) dijangka terlepas tiga atau empas perlawanan pertama Liga Super manakala Azam Azmi (Murad) dan Rahadiazli (Rahalim) pula sudah mula menjalani latihan ringan,” tambahnya.
TFC dijadualkan mengadakan aksi pemanas badan dengan Kedah Darul Aman (KDA), Penang FC dan TFC II dalam saingan empat penjuru bermula esok sehingga 21 April.