KELAB Terengganu FC menafikan khabar angin yang menyatakan naib juara Piala Malaysia 2023 itu akan membawa masuk kapten Harimau Malaya, Dion Cools untuk memperkuatkan pasukan bagi musim baharu Liga Malaysia.
Khabar angin mengenai kehadiran Cools ke Kuala Terengganu bertiup kencang selepas ianya dinyatakan oleh hos sebuah program persiapan pramusim yang disiarkan sebuah televisyen berbayar.
Desas-desus itu semakin kuat selepas delegasi Terengganu FC dilihat membuat lawatan ke kelab terkini Dion, Buriram United sekaligus menjadi tanda tanya peminat bola sepak tempatan yang teruja dengan perkhabaran itu.
Namun begitu berita itu disangkal kelab menerusi satu hantaran balas di laman sosial rasmi kelab sekaligus menutup terus berita perpindahan itu dan Cools kekal di Buriram sekurang-kurangnya sehingga tamat musim Liga Thailand pada Mei 2024.
“Berkenaan berita yang tersebar mengenai kelab ini ingin menandatangani salah seorang pemain Buriram United, ianya adalah tidak benar. Sekian, terima kasih,” tulis hantaran itu.
Dalam perkembangan yang lain, TFC juga menjelaskan lawatan mereka ke Buriram United untuk mendapatkan perkongsian bagi memantapkan lagi serta meningkatkan mutu pengurusan kelab.
“Pihak TFCSB juga hadir adalah bertujuan untuk mendapatkan perkongsian dari Buriram United berkenaan pentadbiran kelab, pengurusan pemasaran dan perniagaan kelab serta konsep pembangunan bola sepak yang dijalankan oleh kelab ini,” jelas kelab.
Terengganu FC di bawah bimbingan Tomislav Steinbruckner kini dalam persiapan untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia dan dilihat sebagai salah satu pencabar kejuaraan dengan kemasukan beberapa pemain handalan dalam dan luar negara.