TULAR di media sosial mengenai kegagalan Terengganu FC membayar gaji pemain yang dikatakan berjumlah enam angka, dengan ancaman sekatan oleh Fifa, seperti yang didakwa oleh peguam mewakili pemain.
Namun, Terengganu FC segera menafikan dakwaan tersebut, menyatakan bahawa tunggakan gaji hanya melibatkan jumlah lima angka pada Disember 2023, dan bukannya enam.
“Tahanan bayaran dibuat bagi memperhalusi pelbagai perkara melibatkan pemain dengan pihak ketiga seperti sewaan rumah, kenderaan dan hal-hal lain sebagaimana termaktub dalam kontrak.
“Tuntutan selebihnya adalah melibatkan pendahuluan diri, tiket penerbangan dan yuran tandatangan yang berjumlah lima angka sahaja. Ianya di dalam kemampuan Terengganu FC untuk menyelesaikannya,” menurut kenyataan kelab itu pada Rabu.
Pada 31 Ogos 2024, Fifa mengeluarkan arahan untuk menyelesaikan isu ini dalam tempoh 45 hari, sehingga 15 Oktober 2024.
Terengganu FC juga sedia maklum dengan arahan tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam tempoh masa yang diberikan.
Kelab juga menegaskan bahawa mereka sentiasa berhubung dengan pemain serta ejennya untuk menyelesaikan perkara ini.
Terengganu FC turut menekankan bahawa mereka tidak pernah dikenakan tindakan serius daripada Fifa sebelum ini dan sentiasa mematuhi segala notis dan arahan yang diberikan.