TERENGGANU FC akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama musim ini apabila berjaya menewaskan Sarawak United (SUFC) 2-1 dalam aksi di Stadium Negeri, Kuching Ahad malam.
Jaringan menerusi Kpah Sherman dan Zuasyraf Zulkifli cukup memberikan tiga mata buat skuad kendalian Nafuzi Zain meskipun bermain dengan 10 pemain selepas Kpah Sherman dilayangkan kad merah.
SUFC yang turun tanpa beberapa tonggak berikutan positif Covid-19 gagal mengambil kesempatan kekurangan pemain Terengganu dan kini menghuni tangga terakhir dengan hanya satu mata dari lima perlawanan.
Kemenangan ini pastinya memberi kelegaan kepada TFC selepas tewas dua kekalahan awal kepada PJ City dan JDT. Kejayaan ini juga berjaya membawa Terengganu FC keluar dari zon relegasi dan kini menghuni tangga ke-10 liga dengan tiga mata.
Di Stadium Bandaraya, derbi utara menjadi milik Kedah Darul Aman FC apabila berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 mengatasi Penang FC yang masih mencari kemenangan sulung.
Dua gol dari pemain import, Roland Ngah Wanja pada minit ke-62 dan 65 cukup untuk memadamkan kelebihan awal yang diperolehi Penang FC apabila mendahului pada minit ke-16 menerusi Hilal El Helwe.
Dua jaringan ini pastinya berjaya menutup kritikan yang dilemparkan kepadanya selepas mempamerkan aksi kurang bertenaga dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Menerusi kemenangan ini juga, Kedah Darul Aman kini naik semula ke tangga kedua berkongsi 12 mata bersama JDT tetapi dipisahkan oleh perbezaan jaringan dengan Kedah bermain lebih satu perlawanan.
Masih tanpa kemenangan musim ini, Penang FC kini ditangga kesembilan dengan tiga mata hasil tiga keputusan seri dan dua kekalahan dari lima perlawanan.
Sementara itu dalam aksi Liga Premier, skuad JDT2 berjaya mencatat kemenangan keempat musim ini apabila mengenepikan cabaran Kuching City 3-1 di Stadium MBPG, Pasir Gudang.
Gol dari Fernando Rodriguez, Adam Nor Azlin dan Moussa Sidibe memastikan JDT2 mengutip tiga mata penuh dan kini berkongsi tempat teratas dengan Kelantan FC masing-masing mengumpul 12 mata dari lima perlawanan.