TERENGGANU FC (TFC) memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri dengan menumpaskan Selangor FC (SFC) 2-0 pada pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pada Jumaat.
Turun tanpa Kpah Sherman yang digantung perlawanan akibat kad merah, TFC bermula dengan aksi agresif untuk memburu jaringan.
TFC berjaya memecahkan kebuntuan menerusi gol dari Faisal Abdul Halim minit ke-19 yang merembat kencang menewaskan Khairul Azhan Khalid sekaligus menggamatkan suasana stadium di Gong Badak.
Tersentak jaringan itu, SFC menyusun semula permainan dan hampir menyamakan kedudukan tetapi tandukan Shahrel Fikri m-43 sedikit tersasar dari gawang.
Bersambung babak kedua, TFC tidak menunggu lama bagi menambah jaringan.
Kali ini sepakan penalti yang disudahkan oleh Kipre Tchetche m-59.
Banyak peluang dimiliki SFC tetapi gagal menterjemahkan dalam bentuk jaringan sehinggalah tamat perlawanan.
Kemenangan kedua berturut-turut yang dilakar skuad kendalian Nafuzi Zain membantu mereka melonjakkan ke tangga ketujuh yang kini mengumpul enam mata sementara SFC kekal kutipan lima mata.