KEJAYAAN demi kejayaan sama ada di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa yang telah dilakar cemerlang oleh Persatuan Pelayaran Terengganu(TSA) kini mula mengorak langkah untuk memberi fokus pada program pembangunan sukan para pelayaran yang melibatkan komuniti-komuniti orang kurang upaya(OKU) di negeri ini.
Program yang telah bermula sejak setahun lalu kini berjaya menarik penyertaan seramai 10 atlet kurang upaya yang hadir dari beberapa daerah dalam negeri ini untuk menjalani program latihan sepenuh masa bertempat di Pusat Latihan Pelayaran Terengganu, Pulau Duyung, Kuala Terengganu. Menambah menarik, barisan atlet-atlet kurang upaya ini juga cukup aktif untuk menyertai beberapa kejohanan domestik yang dianjurkan di dalam negara.
Melihat prospek podium bagi acara-acara sukan pelayaran di peringkat antarabangsa khususnya di pentas kejohanan Asia mahupun pentas tertinggi dunia Paralimpik mampu untuk meletakkan pasukan pelayar kurang upaya ini berada di dalam kelas tersendiri untuk digilap lebih awal.
“Terengganu kini memberi fokus pada program pembangunan sukan perahu layar melibatkan atlet-atlet kurang upaya di mana kami melihat kategori ini mempunyai prospek untuk menyumbang pingat buat Terengganu mahupun negara di kejohanan antarabangsa.
“Selain itu ianya secara tidak langsung menjadi tanggungjawab sosial kami untuk memberi peluang dan ruang kepada masyarakat orang kurang upaya negeri ini untuk menceburi sukan ini.
“Malah hala tuju pembangunan sukan pelayaran melibatkan atlet kurang upaya ini bakal mempunyai masa depan yang lebih cerah sekiranya kembali dipertandingkan di pentas Sukan Para Malaysia(Para SUKMA). Seiring dengan objektif penganjuran Para SUKMA itu sendiri untuk melahirkan atlet-atlet berkualiti untuk mewakili negara ke pentas yang lebih tinggi seperti Sukan Asia mahupun Paralimpik yang menjadi pentas tertinggi buat mereka.
“Kita tidak boleh menafikan keupayaan orang kurang upaya ini di mana mereka mampu untuk digilap menjadi atlet-atlet bertaraf profesional cuma kita perlu memberi peluang dan ruang sama rata buat mereka khususnya penglibatan dalam sebarang kejohanan-kejohanan yang berlangsung khususnya di dalam negara.
“Begitu juga buat buat kami di Terengganu untuk menganjurkan beberapa kejohanan di sini setelah memulakan program pendedahan sukan pelayaran kepada orang kurang upaya ini.
“Namun begitu kami perlu sentiasa merangka untuk penambahbaikan dalam perlaksanaan program pembangunan sukan pelayaran secara komprehnsif di negeri Terengganu ini termasuk program kejurulatihan supaya sambutan penglibatan yang lebih ramai dari golongan orang kurang upaya ini.” ujar Presiden Persatuan Pelayaran Terengganu(TSA) Ibni Amin Busu yang telah meninggalkan legasi besar kejayaan sukan negeri ini selaku bekas pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) bagi penggal 2006 sehingga 2020.
Kalendar sukan pelayaran negeri Terengganu bagi tahun 2023 ini juga cukup meriah dengan penganjuran empat siri perlumbaan yang akan mempertaruhkan lima kategori termasuk Hansaa Access 2.3 bagi atlet kurang upaya. Mencipta kelainan, dua perlumbaan itu akan berlangsung di perairan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu dan Tasik Puteri di Dungun.