MESKIPUN bergelut pada permulaan musim, Terengganu FC kini berada pada landasan terbaik dan kini bersedia untuk menggempur pasukan Selangor FC apabila kedua-dua pasukan ini bertemu dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Selasa.

Tiga kemenangan berturut-turut telah dicapai pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner dalam Liga Super selepas tewas kepada Negeri Sembilan FC bulan lalu dan satu kemenangan dalam Piala FA dilihat berjaya menaikkan semula keyakinan para pemain untuk meneruskan rentak cemerlang.

Namun begitu, TFC bakal berhadapan satu lagi pasukan yang juga memenangi empat perlawanan berturut-turut, Selangor FC dan ini pastinya akan memberikan cabaran sebenar buat kedua-dua pasukan sebelum berhenti rehat untuk sambutan Aidilfitri.

Tomislav Steinbruckner

“Kami tahu Selangor adalah pasukan yang bekualiti dengan ramai pemain yang bagus. Kami mempunyai lebih satu hari untuk pemulihan berbanding Selangor dan harap kami dapat tiga mata kerana kami masih belum mendapat sebarang mata di laman lawan.

“Empat kemenangan di laman sendiri menaikkan semula keyakinan para pemain dan berharap mereka dapat berikan persembahan yang baik untuk kita dapat bawa pulang mata,” kata Tomislav apabila ditanya tentang persiapan pasukan.

Tomislav juga kini lega apabila barisan serangannya mula menghasilkan gol dengan gandingan Jordan Mintah, Ivan Mamut dan Adisak Kraison mula menemui sentuhan jaringan dengan menyumbang 10 jaringan dalam empat perlawanan terakhir.

Ivan Mamut

Bertemu Selangor yang kini di tangga kedua, dia turut berharap gandingan penyerang ini mampu merobek gawang Gergasi Merah dalam usaha Terengganu untuk memperbaiki kedudukan dalam liga.

Kemenangan boleh meletakkan Terengganu ke tangga ketiga namun tugas berat menanti dalam aksi yang pastinya menarik dengan kedua-dua pasukan pastinya mahu mengekalkan rekod cemerlang masing-masing.