TERENGGANU mencipta kejayaan gemilang apabila berjaya merangkul gelaran juara dalam Kejohanan Kebangsaan Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) 2024, yang diadakan di Forest City, Johor pada baru-baru ini.

Pasukan yang diketuai oleh Mohd Firdaus Ahmad bersama ahlinya Muhammad Nor Hisham Husain, Ng Kim Yong, Sia Chee Kian, dan Kamaruzzaman Mansor, berjaya menewaskan cabaran dari Pahang dan Pulau Pinang, yang masing-masing terpaksa berpuas hati dan akur di tempat kedua dan ketiga.

“Kemenangan ini adalah untuk Terengganu. Pasukan saya menunjukkan kesungguhan yang tinggi serta strategi yang tepat untuk meraih kejayaan ini,” kata Firdaus.

Dia juga memuji penganjuran kejohanan tersebut yang diuruskan oleh Delta World dan disokong oleh Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) Malaysia.

Pemain golf PNAGS 2024.

Seramai 70 pemain dari seluruh negara bertanding dalam format ‘strokeplay’ melibatkan 36 lubang di Lapangan Legacy dan Classic. Dalam kategori Medal A (handicap 0 hingga 5), Gwee muncul juara selepas menewaskan Alya Afza Hazari dan Mohd Shamsuri Ishak.

Kategori Medal B dimenangi oleh Choo Kueh Fong, manakala Muhd Eddy Ismail dan Nazrin Kassim masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga. Pemenang kategori lain termasuk Muhammad Feyyaz Ashaari (Medal C), Sia Chee Kian (Medal D), dan Nazaruddin Moksin (Medal E).

Adam Adli turut hadir bagi majlis penyampaian hadiah.

Kejayaan para pemenang ini memberikan mereka tiket ke final Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) di Phuket, Thailand pada hujung tahun ini. Mereka yang akan mewakili Malaysia adalah Gwee, Choo Kueh Fong, Muhammad Feyyaz, Sia Chee Kian, dan Nazaruddin.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, dan turut hadir bersama Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.