KERAJAAN negeri Terengganu mahu mewujudkan sebuah nurseri serta tapak pembenihan rumput jenis Bermuda Princess 77 bersebelahan dengan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga gelanggang rasmi buat kelab Terengganu FC.
Lapangan di stadium yang terletak di Kompleks Sukan Gong Badak itu menggunakan rumput jenis Bermuda Princess 77 dan nurseri serta tapak pembenihan rumput itu kelak bertujuan untuk menyediakan rumput gantian sekiranya berlaku kerosakan pada mana-mana bahagian padang.
Hasrat ini dimaklumkan sendiri oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.
“Komitmen kami untuk memastikan penjagaan padang ini sentiasa diberikan perhatian. Satu kawasan nurseri dan pembenihan rumput Bermuda Princess 77 akan diwujudkan bersebelahan stadium untuk dijadikan sebagai gantian rumput rosak dalam kawasan padang.” kongsinya menerusi satu hantaran di laman media sosial peribadinya.
Turut difahamkan, pihaknya sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai di sekitar stadium itu untuk dijadikan nurseri dan tapak pembenihan terbabit serta dijangka kosnya akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri atau Terengganu FC sendiri.
Namun begitu, Hishamuddin tidak menolak untuk menggunakan dana daripada geran naik taraf saliran dan penukaran rumput bernilai RM500,000 secara keseluruhan yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sekiranya dibenarkan berbuat demikian.
“Jika geran KBS mencakupi objektif ini, kami berbesar hati untuk menggunakan geran ini demi kualiti rumput padang,” jelasnya.
Terdahulu, Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan Kerajaan Negeri Terengganu memohon geran Penambahbaikan Saliran dan Penanaman Rumput yang disediakan oleh KBS itu bagi memperbaiki saliran dan padang stadium terbesar di Pantai Timur itu.