SUKAN Malaysia ke-20 (SUKMA), melabuhkan tirainya Sabtu lalu, membuktikan betapa persiapan pasukan bertanding kurang sempurna gara-gara melalui fasa pandemik Covid 19.
Namun, alasan itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar, kerana pasukan seperti Johor menunjukkan prestasi sebaliknya.
Paling sensasi, prestasi pasukan selatan tanah air itu dalam olahraga.
Walaupun di sebalik kehebatan nama Muhammad Azeem Fahmi dari Perak yang memegang rekod kebangsaan acara 100 meter lelaki, atlet Johor mempamerkan prestasi mantap apabila menguasai olahraga.
Ini terbukti apabila kontinjen itu muncul pasukan yang muncul paling banyak memenangi acara olahraga selepas menang sembilan daripada 44 pingat emas yang dipertandingkan sekali gus menjadi kuasa baru dalam olahraga, mengetepikan Terengganu yang unggul di beberapa temasya lalu.
Sabah paling hampir menybaingi prestasi Johor apabila meraih tujuh pingat emas.
Pengarah Kejurulatihan Olahraga Negeri Terengganu, Zaki Sadri berkata, persediaan menghadapi SUKMA 2022 tidak lancar dan tidak seperti persediaan di SUKMA 2018 yang berlangsung di Perak.
“Persediaan sebenar kami untuk dua tahun akan datang, kami akan bangkit kembali dan saya nak beritahu bahawa SUKMA sebenar kami adalah 2024,” kata Zaki, yang juga legenda lompat kijang negara.
Pada SUKMA kali ini, Johor meraih 9 emas, 6 perak dan 7 gangsa diikuti Sabah 7 emas, 8 perak dan 3 gangsa, sedangkan Terengganu hanya membawa pulang 2 emas, 5 perak dan 1 gangsa.
Jika benar laungan Zaki itu, Terengganu pasti perlu melakukan banyak kerja dalam usaha melonjakkan prestasi atlet olahraga mereka.
Apa tidaknya, pada Kejohanan Olahraga MSSM ke-62, berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sejurus selepas acara olahraga SUKMA berakhir, memperlihatkan prestasi pasukan itu yang kurang memberangsangkan, apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-10.
Mereka sekadar membawa pulang dua pingat emas, enam pingat perak dan lima pingat gangsa, dalam kejohanan membabitkan pertandingan bawah 15 tahun dan 18 tahun.
Pasukan dari Sabah dan Johor mengungguli kejohanan apabila sama-sama memungut 15 pingat emas.
Begitupun, Sabah muncul juara keseluruhan MSSM ke-62 selepas membawa pulang 16 pingat perak dan 10 gangsa.
Manakala Johor pula membawa pulang 9 perak dan 10 gangsa.