MENJAGA hubungan dengan Allah SWT, ibu bapa, para guru dan rakan-rakan, itu antara rahsia kejayaan bagi kapten pasukan Perak FC IV, Mohamad Nasrudin Ahmad Hayeekaji yang mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Pemain yang berasal dari Taiping itu berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM meskipun perlu membahagikan masa antara pelajaran dan sukan yang beliau minati.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (SSN Kedah) di Jitra turut berasa terharu dengan keputusan yang dikecapi.

Mohamad Nasrudin berjaya memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM baru-baru ini. (Sumber Gambar: Perak FC)

“Saya rasa terharu dan tidak sangka kerana saya tak pernah terfikir akan dapat keputusan sebegini.

“Perasaan ibu bapa saya apabila mengetahui keputusan ini adalah mereka sangat bersyukur dan bangga dan dalam masa yang sama sentiasa berpesan kepada saya supaya jangan berasa bangga diri dan berasa terlalu seronok dengan apa yang kita dapati.

“Antara rahsia kejayaan saya adalah sentiasa jaga hubungan dengan Allah iaitu solat awal waktu dan membaca Al-Quran.  Saya juga kena jaga hubungan dengan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan saya,” katanya dalam temu bual khas bersama FLASH SUKAN.

Nasrudin (belakang, kanan) juga merupakan kapten pasukan Perak FC IV. (Sumber Gambar: Perak FC)

Orangnya tidak ‘kedekut’ ilmu kerana beliau juga akan membantu dan mengajar kawan-kawannya yang kurang faham ketika belajar.

“Antara rahsia lain ialah saya perlu berani cari peluang untuk mengajar rakan saya yang kurang mahir dalam pelajaran kerana ilmu yang diajar akan membuatkan kita lebih faham tiga kali ganda.

Pada waktu kelas, saya akan menumpukan 120 peratus dan sentiasa bertanyakan soalan kepada cikgu apabila kurang memahami sesuatu subjek sehingga faham.

“Manakala pada waktu bermain bola, saya akan main bersungguh-sungguh dan tidak sambil lewa dalam melakukan sesuatu perbuatan. Pada waktu lapang di asrama pula, saya akan mengambil peluang dengan sebaiknya dengan berehat secukupnya dan kurangkan waktu melihat media sosial jika tidak penting,” katanya lagi.

Beliau yang bermain di posisi pertahanan tengah kini meletakkan sasaran baharu iaitu bermain bersungguh-sungguh dalam karier bola sepak sehingga dapat mencapai peringkat tertinggi.

ARTIKEL BERKAITAN : SPM 9A : Menteri Besar Perak ucap tahniah kepada kapten Perak IV

Nasrudin juga ingin menyambung pelajaran jika ada peluang ke universiti secara online seperti yang ditawarkan oleh beberapa IPT di negara ini.

Dalam perkembangan lain, pasukan Perak IV bermain secara baik dalam saingan Piala Belia musim ini namun Nasrudin sebagai kapten pasukan tersebut tidak mahu rakan sepasukannya terlalu yakin dengan apa yang pasukan itu kecapi setakat ini.

Sebagai kapten Perak IV, saya akan sentiasa memesan rakan sepasukan supaya tidak overconfident dan mereka perlu serius dalam latihan supaya dapat memberi saingan kepada pasukan yang ternama seperti JDT IV, Terengganu IV dan AMD,” ujarnya.

Perak IV kini berada di kedudukan kelima dalam Kumpulan B selepas lima perlawanan dan meraih enam mata.